Friday 30 December 2011

Pesan Guru

Satu ketika sang murid bertanya kepada gurunya,

“Guruku, bagaimanakah cara untuk mendapat hidup yang baik,?”

“Anakku yang dirahmati Allah, hidup yang baik bukanlah dengan kekayaan mencapai puncak gunung, atau jawatan yang membuat kamu menjadi terkenal. Bukan juga kerana punya keluarga yang besar. “

"Lalu bagaimana memperolehnya?"

Sambil menghela nafas yang panjang, guru menyambung,

“Anakku, sesungguhnya Allah telah memberi Al-Quran sebagai panduan hidup, maka perhatikanlah ayat-ayat didalamnya. Lihatlah didalam surah Al-Nahl ayat 97 yang bermaksud :

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh , sama ada lelaki atau perempuan , sedang ia beriman nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan Kami balas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada yang telah mereka amalkan.


Anakku, di dalam tafsir al-Jami’ Ahkam Al-Quran  Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa hidup yang baik itu terdiri daripada lima unsur :

1.       Rezeki yang diperolehi dengan cara yang baik dan halal kemudian dibelanjakan di jalan Allah
 2.       Qanaah ( merasa puas dengan apa yang dimilik).
 3.       Taufiq yang diperolehi kerana ketaatan dalam memenuhi ketentuan-ketentuan dan petunjuk-petunjukNya.
 4.       Sa’adah atau kebahagiaan yang didapati setelah memenuhi keperluan –keperluan hidup terutama keperluan-          keperluan spiritual.
 5.       Jannah atau syurga yang merupakan tempat tinggal yang penuh dengan rahmat dan anugerahNya.

Anakku, untuk beroleh sesuatu yang baik, maka seharusnya mulailah dengan dirimu. Kamu berbuat kebaikan  kepada makhluk tanpa mengharap balasan daripadanya. Ikhlaskan hatimu mengerjakan amal biarpun tidak dipandang. Jadilah seperti pohon yang dibaling dengan batu, tapi dibalasi dengan buah yang meranum.