Sunday 22 June 2014

Dan Kita Ibarat BIntang-bintang di langit Malam.

Dan Kita Ibarat BIntang-bintang di langit Malam.

Kami berbaring di atas hamparan pasir pantai di malam itu. Terasa nyaman. Segar.Angin pantai tenang bertiup. Kami memandang ke langit. Khemah dan unggun api dibiarkan seketika bagi merasai keindahan aalam ciptaan Allah ini.

Bintang-bintang berkelipan, menghiasi langit malam.

“Kalian. Lihat di langit sana. Sungguh banyak bintang yang berkelipan. Indah bukan?”

Masing-masing mengangguk.

“Subhanallah, Maha Suci Allah yang mencipta bintang ini. Sungguh kalau kita nak menghitung jumlahnya pasti tak termampu,” kata seorang sahabat.

Benar, kita hambaNya yang lemah.

Kami terdiam seketika. Memikirkan betapa agungNya kebesaran Ilahi ini.

“Kalau dulu, bintang sering digunakan sebagai penunjuk arah bagi para pelayar. Lihat gugusan bintang di sana. Buruj yang terhasil itu membentuk gambaran pari. Itu dinamakan buruj pari. Buruj ini digunakan untuk menunjuk arah ke selatan.

“Subhanallah, benar itu sahabat. Betapa setiap ciptaan yang Allah jadikan itu tidaklah sia-sia.”

Sebenarnya bintang yang bergemerlapan ini umpama para sahabat nabi.Lihat bagaimana para sahabat nabi dahulu. Teguh iman, kekuatan jiwa. Meskipun nyawa sebagai galang ganti. Lihat saja Bilal bin Rabah, pekataan Ahad terus terbit biarpun tubuhnya ditindih batu. Ammar bin Yasser sekeluarga diseksa, sehingga Sumayyah menjadi wanita pertama syahid."

Ya, banyak sekali contoh dan tauladan boleh diikuti dari para sahabat terdahulu. Mereka bukan sekadar bintang yang bergemerlapan. Malah turut menjadi penunjuk di kegelapan malam.

“Kita juga boleh melihat betapa kuat mereka membela agama. Dan sifat mereka seperti bintang yang menunjuk jalan ke arah kebaikan, lihat pada zaman para sahabat , Islam tersebar ke pelusuk alam, sehingga ke negera China.”

“Lalu kita sekalian seharusnya mencontohi dan mengikuti perjuangan mereka. Kalau dikisahkan tentang mereka, pasti tak tidur malam kita.”

Kami sama-sama tergelak. Benar, begitu banyak sekali ibrah penciptaan alam, dan bintang ini merupakan salah satu keajaiban ciptaan Yang Maha Pencipta.

Aku memandang wajah sahabat-sahabatku. Tenang dan tersenyum mereka. Indah sungguh ukhwah ini. Semoga kau kekalkanlah ikatannya ya Allah…

Monday 20 May 2013

Cintai Nabi Tak Bermusim


Cintai Nabi Tak Bermusim

Berapa ramai dikalangan kita mengaku mencintai Nabi Muhammad SAW. Bila tiba Rabiulawwal maka berbondong sekalian kita keluar  berarak, berselawat beramai-ramai, Mencintai nabi  bukan sekadar kita pergi mendengar ceramah tentang kisah hidup baginda di masjid atau di surau, kemudian makan jamuan dan pulang.
.
Mencintai baginda lebih dari sekadar itu.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا
Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berdzikir kepada Allah.” (Al-Ahzab: 21)

Salah satu cara kita mencintai Baginda dengan mencontohi akhlaknya dan menjadikan ia amalan dalam kehidupan seharian.

Baginda saat ditanyai mengapa sanggup bersusah payah beribadah sehingga bengkak kakinya, sedangkan baginda maksum dan telah dijamin syurga. Lalu nabi menjawab ,
“Apakah aku tidak menjadi hamba yang bersyukur?”

Lihat akhlak Nabi terhadap seorang pengemis Yahudi yang buta. Pengemis itu selalu mencaci dan menghina baginda. Namun begitu, baginda tetap terus menyantuni dan menyuapakan makanan kepadanya sehinggalah baginda wafat. Akhirnya barulah pengemis buta itu tahu bahawa orang yang selalu memberinya makanan itu adalah Nabi Muhammad.

Satu ketika datang seorang Badwi ke masjid lalu membuang air di dalamnya. Para sahabat yang melihat perbuatan itu ingin memarahi Badwi tersebut, tetapi sebaliknya Rasulullah menyabarkan mereka lalu menegur perbuatan Badwi tersebut.

Ketika berdakwah, seringkali baginda diejek, dihina, dibaling batu dan najis malah sehingga diancam bunuh. Tetapi lihatlah, baginda tetap sabar dan berterusan melaksanakan dakwah. Pernah ketika berdakwah di Thaif, baginda dibaling batu sehingga berdarah. Malaikat Jibrail menyatakan kesanggupan ingin membalas perbuatan penduduk Thaif. Akan tetapi baginda mendoakan semoga generasi Thaif yang seterusnya menerima seruan dakwahh baginda.

Ketahuilah,
mencintai Rasulullah merupakan syarat utama untuk mencintai Allah.
Mencintai Rasulullah kerana baginda sangat mencintai umatnya.

Wallahua’lam.


Monday 6 February 2012

..rembulan dan bebintang..


Tadi keluar sebentar mengambil angin malam. Subhanallah, bulan tersenyum memandang bumi. dan bebintang tetap memancarkan sinar.

" anakku, apabila purnama bercahaya, biasanya bintang turut sama bersinar," terngiang suara sang guru , memutarkan kembali ingatan bersamanya.

" benar. apabila terlihat rembulan dan bintang bertebaran di angkasa, barangkali tandanya hari tidak hujan malam itu," ulah sang murid, sambil tersenyum.

segaris senyuman terbit dari sang guru. kemudian dia melanjutkan perbicaraan.

"  Ibarat bintang di langit yang menunjuk jalan kepada para musafir di padang pasir di tengah malam, begitulah para sahabat nabi . Sungguh biarpun jauh dari rembulan , tapi arah yang ditunjukkan tetap ke arah yang sama. Contohilah mereka, moga mendapat petunjuk.
sambungnya,
"orang yang berjuang, akan berhadapan dengan bermacam tribulasi. Akan menghadapi pelbagai kesulitan. Perhatikanlah bagaimana ibrah perjuangan baginda dan sahabat , diseksa, dipulaukan, dan pelbagai lagi cubaan yang diterima. Setelah kewafatan baginda, Islam terus disebarkan oleh para sahabat, seperti Saad Abi Waqas yang telah dihantar ke Negara China . Akhirnya ke hampir ke seluruh pelusuk dunia Islam tersebar. Begitulah bebintang, kadangkala sang rembulan terlindung dek awan, tetapi bebintang tetap terus berkelipan….”


Thursday 2 February 2012

Ibrah Dari Daun



Seusai masa berlalu, saya berjalan di sekitar kawasan rumah. Tenang, aman damai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suah lama tidak mengecapi semilir petang. Satu ketika, mata ini tertangkap pada daun yang jatuh berguguran menyembah bumi.

 Ada daun yang menghijau. Ada daun yang menguning . ada yang layu. Ada yang baru tumbuh merimbunkan lagi pohon. Yang hijau terus menjalankan proses fotosintesis. Sedang yang layu menunggu waktu untuk gugur ke bumi. Tetapi ada juga daun hijau yang jatuh ke  tanah. Mungkin gugurnya ditiup angin. Atau juga terjatuh saat burung hinggap ke dahan.   Dalam masa yang sama, ada pucuk yang baru tumbuh. Dan pertumbuhannya adalah mengikut dari arah mana cahaya itu datang.

Begitulah ibrah dari dedaunan yang menghiasi pepohonan. Secara lumrahnya manusia akan akan menghadapi kematian pada usia tua. Namun ada ketika belum mencapai usia baligh telah Allah jemput untuk kembali kepadaNya. Biarpun begitu, manusia terus berkembang dan hidup. Ibarat sepohon pokok dipenuhi dedaunan, begitu juga manusia yang memenuhi bumi tuhan.

Simbolik bagi arah tumbuhnya pepohonan mengikut cahaya, adalah merupakan fitrah bagi manusia yang memerlukan petunjuk di dalam kehidupan. Manusia memerlukan agama dalam sebagai satu jalan hidup. Manusia perlu mengbadikan diri pada pencipta, agar diri dapat hidup sebagaimana pepohonan yang menjalankan proses fotosintesis .

Semoga kita menjadi antara dedaunan yang subur dalam rahmat 
Ilahi!

Friday 30 December 2011

Pesan Guru

Satu ketika sang murid bertanya kepada gurunya,

“Guruku, bagaimanakah cara untuk mendapat hidup yang baik,?”

“Anakku yang dirahmati Allah, hidup yang baik bukanlah dengan kekayaan mencapai puncak gunung, atau jawatan yang membuat kamu menjadi terkenal. Bukan juga kerana punya keluarga yang besar. “

"Lalu bagaimana memperolehnya?"

Sambil menghela nafas yang panjang, guru menyambung,

“Anakku, sesungguhnya Allah telah memberi Al-Quran sebagai panduan hidup, maka perhatikanlah ayat-ayat didalamnya. Lihatlah didalam surah Al-Nahl ayat 97 yang bermaksud :

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh , sama ada lelaki atau perempuan , sedang ia beriman nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan Kami balas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada yang telah mereka amalkan.


Anakku, di dalam tafsir al-Jami’ Ahkam Al-Quran  Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa hidup yang baik itu terdiri daripada lima unsur :

1.       Rezeki yang diperolehi dengan cara yang baik dan halal kemudian dibelanjakan di jalan Allah
 2.       Qanaah ( merasa puas dengan apa yang dimilik).
 3.       Taufiq yang diperolehi kerana ketaatan dalam memenuhi ketentuan-ketentuan dan petunjuk-petunjukNya.
 4.       Sa’adah atau kebahagiaan yang didapati setelah memenuhi keperluan –keperluan hidup terutama keperluan-          keperluan spiritual.
 5.       Jannah atau syurga yang merupakan tempat tinggal yang penuh dengan rahmat dan anugerahNya.

Anakku, untuk beroleh sesuatu yang baik, maka seharusnya mulailah dengan dirimu. Kamu berbuat kebaikan  kepada makhluk tanpa mengharap balasan daripadanya. Ikhlaskan hatimu mengerjakan amal biarpun tidak dipandang. Jadilah seperti pohon yang dibaling dengan batu, tapi dibalasi dengan buah yang meranum.